KUALA LUMPUR: Ribuan membanjiri kawasan berhampiran bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi menyertai Himpunan 100K Bela Palestin pada petang Sabtu.

Kehadiran mereka sebagai isyarat menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin dan bantahan kepada Amerika yang dilihat berterusan membantu rejim Zionis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara yang hadir dalam himpunan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain itu, beberapa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional juga dilihat hadir, antaranya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ribuan membanjiri kawasan berhampiran bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi menyertai Himpunan 100K Bela Palestin pada petang Sabtu. - Foto Astro AWANI

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua dan aktivis, Hishamuddin Rais juga dilihat antara yang hadir.

Peserta himpunan dilihat mula berkumpul di luar bangunan Kedutaan Amerika bermula jam 2.30 petang.

Sebelum itu, mereka semua berkumpul di tiga lokasi iaitu di Bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Masjid KLCC dan Masjid Ibnu Mas’ud di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Mereka kemudian berarak ke lokasi berhampiran bangunan Kedutaan Amerika sebelum semuanya berkumpul bersama beberapa pemimpin yang sudah berada di lokasi.

Beberapa pemimpin, antaranya Dr Mahathir dan Abdul Hadi kemudian berucap di hadapan semua peserta dengan intipati ucapan berkisar kepada sokongan kepada Palestin dan kecaman kepada Amerika.

Himpunan 100K Bela Palestin – Solidariti ‘Raya Bersama Gaza’ di hadapan kedutaan Amerika Syarikat itu merupakan anjuran Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap perjuangan suci rakyat Palestin dan kecaman terhadap rejim Zionis yang berterusan membunuh rakyat Palestin.